Ingin ku kisahkan kisah yang ku penakan,
Akhirnya dicuba untuk aku nadakan,
Kamu boleh panggil syair atau puisi,
Yang penting kamu dapat satu atau dua isi,
Ini kisah klasik kelasi-kelasi,
Yang hadir dari masyarakat Kelas-C,
Impi hidup sempurna serba-serbi classy,
Input setitik habuk, bukit takkan menjadi,
Pagi-pagi sudah bangun pada hari-hari,
Nakhoda seru kru untuk kemari,
Mari pergi laut, mari cari rezeki,
Utamakan usaha ikan letak ke tepi,
Maka berlayarlah segala kapal nelayan,
Hanya lautan biru yang bakal melayan,
Kisah tiga kapal akan kita ikuti,
Mengikut turutan akanku turuti,
Kapal pertama gemar mencuri kesempatan,
Kru durjana menyeru parang berterbangan,
Menawan kapal luar dan juga tempatan,
Ini bertentangan dengan adat ketenangan,
Hasil pungutan jarah adalah terkaya,
Boleh balik rumah dengan segak bergaya,
Balu dan yatim hanya menangis pasrah,
Tak menahu harta ada hancing darah,
Suatu hari mari Taming Sari menghilang,
Dari muka mereka hilang seri periang,
Darah bertumpahan kapal turut tenggelam,
Dikhabar dalam kelam puaka tuntut dendam,
Jangan sesekali bersikap khianat,
Diberi tugasan jagalah amanat,
Sekali rosak dilaknat riwayat,
Kita semua ada titik noktah penamat,
Kapal kedua taring paling tertua,
Sudah lama lautan biru bersua,
Masih membayang-bayang bayangan masa muda,
Dulu termaju sekarang kosong kuasa kuda,
Muda gagah dan megah,
Air garam meredah,
Hasil pancingan tinggi dan kekal meninggi,
Dibuat pekasam mengguna 7 asam,
Tiba kapal kuda kuasa seribu putar,
Aras keuntungan jatuh begitu gusar,
Penggelapan zaman keemasan, makin pudar,
Pekerjaan lambat sikit gaji diputar,
Dalam apa-apa pekerjaan,
Teknologi kerja mesti ikut keadaan,
Nak kerja sesuai peralatan,
Kalau tak mampu jumpalah penamatan,
Kapal ketiga, kecil tapi beria-ria,
Dipimpin oleh pimpinan belia,
Kalau terjumpa jalan takkan disia-sia,
Kesihatan kapal sentiasa diselia,
Kru sudah tolak kapal menunggu air pasang,
Orang-orang biasa semangat sasa badang,
Lantang tak sesekali mengalah pantang,
Pandang ke semangat yang mereka dendang,
Hasil hanya seberapa,
Boleh kata beberapa,
Masih untung tak sesekali papa kedana,
Menuju jaya menabung ke arah dana,
Tidak kisah kecil atau besar langkahnya,
Yang dikagumi semangat dalamnya,
Tidak dipersoal alatan megahnya,
Yang dikagumi semangat azamnya,
Itu sahaja kisah pada hari ini,
Membunuh kawan akan membunuh diri,
Mestilah ikut cara hidup terkini,
Semangat mantap pasti kan berdiri,
Jangan rendah diri kerna diri punya bopeng,
Keluarkan segalanya bahkan dari loteng,
Jangan nyorok diri di sebalik hangat topeng,
Tunjuk kuasa anda bunyikan segala loceng,
Seperti Rancho telah kata dalam "Tiga Bodoh" (Three Idiots),
Kejar kecemerlangan, berjaya semberono,
Pergi balik pulau pasti ada tombolo,
Tapi adat cara mestilah senonoh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment